dnoBiz

Just In & Around My BoX



kekeliruan tentang hudud

Hukum Hudud – Hudud hanya Untuk Orang Islam ??

Persoalan Hudud hanya untuk orang Islam ini sebenarnya sudah lama timbul, bermula dari saat Hudud mula hendak dilaksanakan di Kelantan, dan makin hangat setelah Mantan PM Mahathir Mohamad menghantar surat bantahan tentang draf  hudud yang bakal dilaksanakan.

Namun Isu Ini kembali hangat diperkatakan bilamana Tuan Guru Hj Nik Aziz mengeluarkan kenyataan balas pada DAP

Hudud: Nik Aziz sifatkan DAP macam budak takut hantu

26/09/2011 6:53pm

KOTA BHARU 26 Sept – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP, yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.

“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini, hari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz berkata, hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini. – Bernama

Sebelum korang mula membaca ingin aku jelaskan post ini bukan penjelasan tentang Hudud kerana aku sememangnya tak layak.., cuma ini adalah perkongsian tentang hasil pencarian aku berpunca daripada kekeliruan tentang kenyataan bahawa Hukum Hudud hanya untuk Orang Islam dan bukan Islam berhak membuat pilihan sama ada mahu gunakan hudud atau tidak, jadi kepada pembaca sila buang ketepi pahaman politik masing masing, dan baca post ni dalam keadaan nutral, supaya kita boleh sama sama berkongsi jika ada yang aku terlepas pandang dalam kes ini.

Sebenarnya aku dah beberapa hari cuba mencari dalil yang mengatakan Hudud hanya Khas untuk orang Islam, tapi banyak yang aku jumpa ialah mengatakan yang Hudud adalah Untuk semua termasuklah pada kafir zimmi (kafir warganegara), Tapi dalam pencarian aku aku terjumpa satu ayat Al-Quran yang katanya digunakan sebagai sandaran dalam membuktikan hudud adalah untuk Orang Islam sahaja.., Tapi tafsiran ayat tersebut telah dipertikaikan penggunaannya atas alasan dari aspek mafhum, mantuq dan juga asbabunuzul ayat Tersebut…

“Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil” [TMQ al-Maidah (5):42].

Penjelasan Tentang kesilapan tafsiran ayat diatas :

Mereka menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud, qisas dan ta’zir hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja manakala penduduk bukan Islam diberi pilihan sama ada hendak menerima hukum tersebut atau tetap berhukum dengan hukum kufur. Untuk menyokong pendapat ini, mereka beristidlal dengan firman Allah,

“Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil” [TMQ al-Maidah (5):42].

Mereka seterusnya menafsirkan ayat ini bahawa Allah memberi pilihan kepada orang kafir sama ada untuk menerima hukum hudud, qisas dan ta’zir atau memilih untuk berhukum dengan hukum mereka (hukum kufur). Lafaz “fa in ja’uka fahkum bainahum au a’ridh anhum” (jika mereka datang kepada mu, maka putuskanlah di antara mereka atau berpaling dari mereka) mereka tafsirkan sebagai ‘pilihan’ yang diberi kepada ‘orang kafir’ sama ada untuk berhukum dengan hukum Islam atau pun hukum kufur. Oleh yang demikian, mereka telah menyatakan bahawa orang kafir yang tinggal dalam negara Islam tidak terkena hukum Islam, kecuali orangkafir itu sendiri memilih untuk berhukum dengan hukum Islam.

Mengkaji dengan teliti dari aspek mafhum, mantuq dan juga asbabunuzul ayat di atas, maka kita dapati bahawa tafsiran yang dibuat adalah amat salah dan mengelirukan. Dari segi lafaz itu sendiri, kita memahami bahawa:

  •  Allah memberi pilihan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir;
  • Pilihan yang diberi itu adalah sama ada untuk menghukum orang kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau berpaling dari mereka (a’ridh), bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum Islam atau berhukum dengan hukum kufur. ‘Berpaling’ maksudnya tidak menghukum (membiarkan) mereka.

Secara ringkasnya dapat kita simpulkan bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) dan Allah memberi dua alternatif kepada Rasul sama ada ingin menghukum kesalahan mereka dengan hukuman Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum. Untuk menjelaskan lagi perkara ini, kita boleh melihat pandangan beberapa ulama muktabar berkenaan dengan hukum fiqh yang mereka istinbat dari ayat ini:-

  • Ibnu Kathir menyatakan: Jika mereka (orang kafir) datang kepada kamu (iaitu) untuk meminta pengadilan dari kamu, maka hakimilah antara mereka, atau biarkan mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun. Maka tidak mengapa untuk kamu tidak mengadili persengketaan di antara mereka kerana sebenarnya mereka tidak berniat untuk berhukum kepada kamu berdasarkan hak, tetapi mereka inginkan apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka [Ibnu Kathir, Tafsir Al-Quran Al-Azhim].
  • Qusairy menyatakan: Tidak wajib ke atas kita untuk mengadili di antara mereka bila mereka bukan kafir zimmi tetapi kita boleh mengadili mereka jika kita mahu [Imam Al-Qurthubi, Al-Jami’li Akhamil Quran].
  • Sa’id bin Jubair menjelaskan: Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka atau berpalinglah dari mereka. Dalam ayat ini Allah memberikan keluasan bagi seorang hakim untuk memilih antara memutuskan perkara mereka atau tidak menghukum, dan membiarkannya terkontang-kanting [Ibnu Jawzi, Nawasikhul Qur’an].

Dari aspek asbabun nuzul ayat di atas, kita akan lebih memahami maksud ayat tersebut dengan benar apabila melihat kepada sebab penurunan ayat ini di tambah dengan memahami kedudukan/aspek geo-politik orang kafir (Yahudi) yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Imam Sayuthi menjelaskan,

“Seorang lelaki dari suku Yahudi di Fadak telah berzina, lalu orang-orang Fadak menulis surat kepada Yahudi di Madinah supaya bertanya kepada Muhammad Sallallahu ‘alihi wa Sallam tentang hukum orang yang berzina itu. Jika Muhammad memerintah untuk disebat, maka terimalah, tetapi jika Muhammad memerintah untuk direjam, maka tolaklah. Orang Yahudi bertanya dan Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam pun menjawab akan mereka, lalu sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, turunlah ayat “Jika mereka datang kepadamu, maka hukumlah mereka atau berpaling dari mereka” [Imam Sayuthi, Tafsir Jalalain & Kitab Lubabunuqul Fi Asbabinuzul].

Kita perlu memahami bahawa Fadak adalah sebuah kota di utara Hijaz, tidak jauh dari Khaibar dan berada di luar dari Daulah Islam Madinah. Jauhnya 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari Madinah. Kota ini sekarang telah ditukar namanya kepada Kampung Huwayyit (berkedudukan di luar Madinah). Jarak sebenar antara Madinah (24°27’U, 39°37’T) dan Huwayyit (25°35’U, 40°22’T) lebih kurang 150 km dengan pengukuran secara rentas. Berdasarkan hal ini, kita perlu faham bahawa Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas bukan Yahudi dari kafir zimmi (kafir yang tinggal dalam Daulah Islam) tetapi mereka adalah dari kelompok Yahudi yang tinggal di luar Madinah (bukan warganegara Daulah). Dengan kata lain, ayat di atas adalah khusus untuk kes kafir warga asing yang ingin berhukum dengan hukum Islam, bukannya ayat berkenaan kafir warganegara Daulah (kafir zimmi).

Kafir Zimmi Wajib Terikat Dengan Hukum Islam

Dari pencarian aku kebanyakan bukti yang aku jumpa adalah mengatakan Hudud adalah untuk semua dan tidak terhad untuk Umat Islam sahaja, antaranya ialah..

Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya, SIYASAH SYAR’IYYAH pada bab ‘Hukum dan Hak-Hak Allah’ menyatakan:

Hukuman harus dijalankan secara adil tanpa pandangan bulu, pada seluruh lapisan masyarakat; pada orang terpandang,dan kelas sosial yang lebih rendah, mahupun orang yang miskin. Kewujudan hukuman harus tetap dipertahankan dan dijaga kemurniannya daripada segala jenis penyuapan (rasuah), saranan atau pengaruh-pengaruh dari pejabat tertentu dan sebagainya. Sesiapa sahaja yang mengabaikan kemurnian nilai-nilai hukum, padahal dia mampu menegakannya, baginya laknat bagi Allah, malaikat dan seluruh umat manusia. Allah Taala tidak mengenal adanya penggantian dan upaya untuk surut daripada penerapan hukum kerana dengannya, identik menjual ayat-ayat Allah dengan harga murah (muka surat 88-89)

 Imam Al-Mawardi di dalam kitabnya, Al-Ahkam As-Sulthaniyyah dalam bab zina dan rejam menyatakan:

Untuk dihukum rejam, seseorang tidak disyaratkan beragama Islam. Jadi, orang kafir pun direjam seperti halnya orang Muslim.

Abu Hanifah berkata :

 ”yang dihukum rejam ialah orang Muslim sahaja. Jadi, jika orang kafir berzina, dia dicambuk dan tidak direjam.” Padahal Rasulullah s.a.w pernah merejam dua orang Yahudi yang berzina. (muka surat 367)

Hukuman potong tangan berlaku bagi pencuri lelaki dan wanita, orang merdeka dan hamba sahaya, orang Muslim dan orang kafir. Jika anak kecil mencuri, tangannya tidak dipotong. Jika orang yang tidak sedarkan diri mencuri, dia tidak dipotong tangannya. Jika hamba mencuri kekayaan tuannya, tanganya tidak dipotong. Jika seorang ayah mencuri kekayaan anaknya, tangannya tidak dipotong.” (muka surat 375)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim :

“Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya”.

Imam Nawawi dalam Minhaj At-Thalibin menyatakan : 

“Dan had (hudud) untuk penzina muhsan, mukallaf yang merdeka adalah rejam. Syarbini berkomentar menjelaskan ungkapan ini, “..kerana Nabi telah merejam dua orang Yahudi sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dalam tambahan riwayat Abu Daud, ‘mereka berdua adalah muhsan’. Tambahan lagi, akad zimmah adalah syarat untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana statusnya muhsan” [Nihayat Muhtaj VII:427].

Firman Allah SWT :

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):49].

Ps : Pada Pembaca yang ada maklumat tambahan bolehlah kongsikan di ruang komen supaya boleh kita kongsi bersama bagi menambah pengetahwan dan supaya lebih jelas dalam Isu Ini

Pss : Kesemua maklumat diatas adalah hasil pencarian aku di Internet, tapi aku mohon maaf kepada pemilik maklumat diatas kerana aku terlupa nak simpan sekali sumber rujukan, jadi kepada sesiapa yang terlibat boleh lah bagitahu aku di ruang komen nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Categories: INFO, KEAGAMAAN, SANTAI

23 Responses so far.

  1. Juan says:

    aku setuju juga dengan info ni, hukum hudud juga termasuk dengan bukan islam

  2. tehr says:

    aku tak reti nak ulas
    tapi aku setuju ia dijalankan

    • dino says:

      itu sudah pasti Tehr..
      selagi hudud itu benar benar mengikut apa yang disarankan oleh Islam, kita wajib menyokongnya

  3. ohcikgu says:

    jalankan aje. Tak buat salah, nak buat apa takut.

  4. Macam mana dengan foreigner bro? Terutama yang MUSLIM tapi warganegara lain? Adakah tertakluk pada hukum hudud juga.
    Terdapat beberapa kes di Arab Saudi dan Pakistan yang membuatkan dunia Islam malu dengan isu ini. Perlu hati-hati dalam implementasi. Boleh sebabkan kekacauan dan hubungan politik dua negara jadi longgar.

    • dino says:

      Menarik persoalan tu Bro…
      tapi jawapan ni aku buat berdasarkan pandangan dan sedikit pengetahwan aku..
      Dari apa yang aku faham, untuk warga asing yang bukan beragama Islam yang tidak mendapat perlindungga dan kelebihan seperti pelancung dan bukan mereka yang berkeja di negara kita, kerajaan diberikan pilihan sama ada mengenakan hudud keatas mereka, atau pun melepaskan mereka begitu sahaja tampa sebarang hukuman, dan pada pendapat aku itu jugalah yang boleh digunapakai untuk orang asing yang beragama islam, tapi dalam kontek kedaulatan sesebuah negara aku suka untuk mengambil contoh kes yang berlaku pada 7 Julai 1986 iaitu hukuman gantung yang dikenakan pada dua rakyat Australia Kevin John Barlow dan Brian Geoffrey Chambers hasil daripada pindaan yang dilakukan pada tahun 1983 semasa Tun Mathatir menjadi perdana Menteri Malaysia, mereka tetap dikenakan hukuman gantung sampai mati walaupun kerajaan mereka mengutuk dan mengecam hukuman tersebut yang dikatakan amat kejam dan tidak berperi kemanusiaan, tapi demi kedaulatan undang undang hukuman tetap dijalankan…, jadi kesimpulannya apa jua jenis hukuman yang diperaktikkan di negara kita warga asing haruslah menerimanya…
      Ps : Masuk kandang harimau kena lah mengaum… :D

  5. suri says:

    sukar nak berkata2 sb blh buat kita fikir dari dlm huhu..laksana atau todak kita tgok lah kemungkinan..atau keberkesanan nnti..

  6. nuriz says:

    nik aziz kata hukum gantung boleh, jadi apa salahnya hukum hudud

    • dino says:

      hukum hudud memang tak salah, cuma hudud yang disarankan oleh Islam tu adakah seperti yang telah di drafkan oleh kelantan.., sedangkan antara draf kelantan dan Terengganu pun dah berbeza itu yang dibimbangkan…
      Takutnya nanti hudud kita terpesong dari Yang sebenar, dan terjadilah ketidakadilan yang akan menyebabkan islam dipandang serong oleh penganut agama lain…

      • amirul says:

        yahudi adalah tergolong didalam golongan ahli kitab bang..tuhan sama…depa bukan kafir..depa org musyrik…lagi satu..hudud bukan saranan allah..hudud tu perintah allah.. dari ayat tuan tadi..saya menyimpulkan bahawa tuan menyatakan bahawa allah telah melakukan kesilapan dengan memerintahkan hudud dilaksanakan di malaysia yg kita cintai nih…kalu tuan rasa allah itu maha bijaksana x yah nak pertikai lagi…perjuang jaa… tang ulama nak bertikai..biaq p kat depa la tuan..hasil pertikaianlah yg menyebabkan terkelauarnya hasil keputusan yg terbaik…lagi kita bukan ulama.. tuan

        • dino says:

          bro jangan salah paham, maksud saran tu, ialah apa yang dituntut, dari segi pelaksanaan, hukuman dan sebagainya.. adakah apa yang yang saya maksudkan bukan hudud itu yang salah, tapi cara yang kita (makhluk) nak buat tu adakan sama dengan yang tertakluk dan di syaratkan oleh islam, persoalannya bukan adakah hudu itu patut atau tidak, misti atau tak dilaksanan, kerana sebagai seorang islam kita memang saya menyokong dan menginginkan hukum hudud. yang menjadi persoalannya adakan cara yang nak dilakukan tu adalah seperti Hudud yang diperintahkan Allah, tuan cuba lapangkan fikiran dan baca semula apa yang saya tulis, dan cuba jangan berperasangka…

      • yasir says:

        maaf sekadar bertanya..kenapa Hudud masih belum dilaksanakan di Kelantan atau negeri Kedah (yang diperintah PAS)? Bukankah ianya boleh dilakukan secara berperingkat2

  7. RazibMokhtar says:

    Salam Tuan… nak mintak izin share info nih….

  8. IslamAgamaKu says:

    kita biarkan ulama pakar agama yg bicarakan hal ini. biarkanlah cara implementasi lagu mana sekali pun, hudud adalah amanat Allah, Undang2 Allah, Ulamak kita pun sedia maklum, tahulah mereka mengalas amanah ini sewajarnya. InsyaAllah. Apapaun, saya sokong hudud di Malaysia, Tanah Arab, mahupun di USA sekali pun. Hudud untuk Dunia.

  9. Mr.wit says:

    Sebagai yg mengaku islam sepatutnya kita berusaha menjayakan undang2 Allah tertegak dibumi Allah ini,bukan berusaha untuk menggagalkannya.hanya perbezaan kecil insyaallah dpt diselesaikn kemudian hari…berapa banyak undang2 sivil yang telah diperbetulkan tak ade pon kita nak pertikai..kenapa untuk undang2 Allah byk pulak bersuara lantang…orang yg mahir menunggang basikal kerana mereka bersedia untuk mengalami luka2 kecil…dan hudud adalah dr Allah dan sudah pasti Allah akan memudahkn kita melaksanakannya..yg perlu adalah keyakinan kita kpd Allah,siapalh kita hanya insan yg kerdil.

  10. mahaza says:

    Dalam kes tiada kesepakatan pada ulama Malaysia dalam kes hukum hudud untuk Islam dan Bukan Islam pada saya melibatkan situasi perbedaan mahkamah yang akan menguruskan kes dimana bagi kes hudud jika dilaksanakan akan terletak dibawah Mahkamah Syariah. Untuk Mahkamah Syariah ianya melibatkan umat Islam sahaja. Untuk memeastikan perlaksanaan menyeluruh melibatkan perubahan kpd perlembagaan Malaysia sendiri. Semoga akan berjaya jua hendaknya.

  11. razibmokhtar says:

    Hudud, Qisas dan Takzir adalah jawapan kepada permasalahan dan kepincagan sosial masyarakat kita.. Btul tak??

  12. zaha says:

    hukum gantung bw dadah/senjata api dikatakan adil,x pula zalim..tp nk jalankan hukum hudud takut pula x adil.zalim katanya

  13. bakri says:

    Allah memberi pilihan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir;
    Pilihan yang diberi itu adalah sama ada untuk menghukum orang kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau berpaling dari mereka (a’ridh), bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum Islam atau berhukum dengan hukum kufur. ‘Berpaling’ maksudnya tidak menghukum (membiarkan) mereka.

    kalau PAS sudah menjadi kerajaan…bukankah mereka boleh menentukan samada golongan bukan Islam tertaluk dalam hukum hudud…kalau begitu ikut kata mereka, hukum hudud cuma melibatkan golongan Islam, so hukum biasa akan dikenakan kepada golongan bukan Islam…
    boleh ka jadi sedemikian?

Leave a Reply


CommentLuv badge

Site search

Sponsors